BOIKOT McD ANTARA USAHA MENGHENTIKAN KEGANASAN ZIONIS ISRAEL



Usaha memboikot rangkaian makanan McDonalds dan Tesco mula menampakkan hasil dalam usaha memberikan tekanan kepada keganasan Israel. Sepertimana biasa, personaliti Bumiputera dan Islam yang dibayar gaji oleh kumpulan rangkaian itu mula bersuara memberikan pelbagai penjelasan agar tidak terus diboikot..
Kuasa alam melalui ledakan perasaan orang bawahan melalui kuasa membeli jelas melemaskan negara paling jahat di dunia yang menerima sokongan Amerika itu. Dalam analogi alam, langit adalah golongan atasan, bumi adalah golongan bawahan atau masyarakat awam, angin adalah tiupan berita, hujan adalah analogi hidayah atau ilmu, manakala api pula adalah analogi neraka.
Kesan boikot ini sinonim dengan hakikat bencana alam, pemusnahan yang tidak dapat ditampung manusia apabila ia berlaku di bumi. Begitulah halnya apabila berlaku kejadian yang menggoncangkan seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, banjir, puting beliung dan sebagainya.
Sebagai contoh, putaran angin putting beliung akan berlaku apabila terjadi perbezaan yang melampau antara suhu panas dan sejuk. Demikianlah cepatnya edaran berita panas di Gaza yang menyerbu masyarakat dunia apabila keganasan dan jenayah perang yang melampau telah dilakukan oleh Israel secara berterusan.
Masyarakat dunia marah dan berdemonstrasi menghentam Zionis Israel dengan berapi-api ibarat ledakan lahar gunung berapi. Perniagaan tajaan Zionis yang selama ini sangat subur mula gersang apabila hati masyarakat dunia dari golongan bawahan meluap-luap panasnya dan mula memboikot.
DILEMA ANTARA TAWARAN PERCUMA DAN BOIKOT McD
Agak memalukan juga apabila ada yang tidak sedar Tesco sedang memperbodohkan kita apabila tawaran hadiah RM500,000 dibuat tatkala masyarakat sedang berkempen memboikotnya. Dengan bangga sebahagian dari kita menayang muka ketika turutserta dalam pertandingan itu. Hilang kisah memboikot, kita malah menambah belian pula untuk merebut hadiah itu. Inilah gambaran pendirian sebahagian dari masyarakat kita.
Jumaat esok dikatakan hari tanpa McDonalds seluruh negara. Secepat kilat pihak pengurusan McD dikatakan mengambil langkah yang sama dengan Tesco untuk memperbodohkan kita. Mereka dikatakan menawarkan juadah McD secara percuma. Ada juga yang mengatakan ini berita palsu, ada yang kata tawaran ini akan dibatalkan apabila McD dikritik hebat. Jika tawaran ini benar, maka ramai pulalah nanti penggemar McD yang terliur dengan tawaran itu. Masing-masing serba salah samada mahu terkam makanan percuma atau mahu teruskan boikot.
Matlamat kita ialah untuk memberikan tekanan ekonomi terhadap sumber kewangan Zionis Israel. Jika kita tidak mampu belikan senjata untuk Palestine, jangan beri dana untuk Israel membeli senjata pula. Itu saja kuasa yang kita ada.
Dari segi ekonomi, tidak salah nak makan makanan yang ditawarkan secara percuma. Lebih banyak kita ambil, lebih banyak McD hilang dana kerana makanan itu tidak haram. Yang haram ialah penggunaan keuntungannya untuk mendanai kemusnahan dan pembunuhan beramai ramai.
Tetapi dari segi moral, ia sangat memalukan dan menjatuhkan maruah kita yang kononnya mahu memboikot McD, tetapi baru offer makan sedikit sahaja, kita sudah tersungkur-sungkur merebut makanan. Sudah boleh dibayangkan bagaimana mereka berguling-guling mentertawakan kita apabila melihat sikap sebahagian masyarakat kita ketika berebut-rebut mahu mengambil makanan percuma.
Di manakah kita nak letak muka? Nampak sangat yang kita tiada pendirian.
McD tidaklah haram, namun ia bukanlah makanan yang terjamin halalan toyyibahnya. Mereka kaya raya hanya kerana sikap orang kita yang terlalu mengagungkan gayahidup dan budaya pemakanan barat. Padahal makanan itu dipenuhi dengan pelbagai kimia seperti perasa dan pengawet yang bersifat karsinogenik. Ia mereputkan tulang, menjadi punca pelbagai jenis kanser, penyakit jantung, hati dan sebagainya. Masih ingat agenda 5F, 3S, 5S, 7S oleh puak Dajjal? Ya.. habit pemakanan, ‘Food & Snack’ adalah salah satu darinya.
Ketahuilah bahawa kerugian hasil dari boikot pembelian McD dan segala keluaran Israel amat menakutkan mereka dari segi impak ekonomi. Namun secara moralnya, Israel akan merasa lebih tertekan jika tidak ada sebiji pun burger percuma yang ditawarkan seluruh negara itu sudi diambil oleh pelanggan.
PENDAPATAN ORANG KITA TURUT TERJEJAS?
Banyak juga fakta yang dikeluarkan oleh beberapa individu berbayar yang menjadi jurucakap Tesco dan McD menyentuh isu ini. Ada yang berkata Tesco tiada sumbangan kepada Israel. Ada yang kata banyak ekuiti McD dipegang oleh orang Melayu Islam. Yang penting masing-masing mengatakan ramai pekerja Islam yang bekerja dengan mereka dan sebagainya.
Kita ucap terima kasih pada pihak yang mengambil inisiatif mengkaji dengan mendalam termasuk mendapatkan data dari pendaftar syarikat bagi memastikan kesahihan dakwaan itu. Yang nyata, kepentingan bumiputera hanya sekitar 16% dalam perniagaan McD. Soal peluang kerja langsung tiada masalah kerana Malaysia memang sedang mengalami krisis tenaga kerja sehingga menjadi tumpuan PATI.
Keganasan Israel sudah sangat parah dan melampau, sudah sampai ke tahap binatang buas. Kanak-kanak dan wanita dibunuh dengan SENGAJA oleh tentera. Gaza dikepung dengan bekalan letrik, air, makanan, perubatan, peralatan dan segala macam keperluan hidup disekat sewenang-wenangnya. Sekolah, hospital, masjid turut dibom dengan sengaja. Tanpa merasa malu mereka mengedarkan video yang menunjukkan tepuk sorak keriangan apabila melihat semua itu berjaya dibom.
Amerika bukan sahaja secara terang terangan menyatakan sokongan terhadap Israel, malah menyediakan bantuan kewangan dan bekalan senjata untuk memenangkan Israel. Sebuah bank seperti HSBC yang biasanya memujuk pelanggan untuk menyimpan di bank mereka sanggup menggantung akaun organisasi Islam yang menyokong Palestine. Demikian Israel dan sekutu mereka begitu berpegang teguh pada prinsip meneruskan sokongan terhadap keganasan Zionis itu.
Untuk kita yang memang ‘hantu’ McD dan yang berkepentingan samada dari segi perniagaan atau pencarian nafkah, inilah yang dinamakan pengorbanan. Jika pemboikotan ini jelas berkesan dan sekurang kurangnya mampu membuatkan Israel tarik handbrake daripada terus menerus menjahanamkan hartabenda dan membunuh insan tidak berdosa di Gaza, apalah sangat dengan 16% kepentingan orang Islam di McD?
Sebahagian dari mereka yang berkepentingan bukan orang susah pun? Gunalah sedikit akal untuk menunjukkan tanda sokongan. Contoh yang digimikkan di media sosial di mana satu outlet McDonalds yang menukar nama dengan ‘McDolah’ adalah antara langkah praktikal yang bijak. Dapurnya sama, pekerjanya sama, tapak bangunan dan peralatan semua masih sama. Mereka cuma perlu tukar produk sahaja. Lakukanlah kerana Allah dan sokongan kemanusiaan terhadap Palestine.
InsyaAllah masyarakat juga boleh turut membantu dengan memberikan sokongan jika pengusaha yang terlibat sanggup mengubah haluan dengan matlamat mendokong perjuangan rakyat Palestine yang tertindas sekian lama. Kita hanya perlu gunakan kemudahan media sosial dan kesatuan NGO dan kempen mulut ke mulut untuk mewarwarkannya.
Pihak kerajaan juga boleh membuat tawaran untuk membantu sebahagian dari pengusaha McD tempatan dan pekerja yang terjejas sebagai menunjukkan sokongan kepada gerakan pemboikotan ini. Pelbagai syarikat korporat lain juga masih memerlukan ramai pekerja.
KESIMPULAN
Jadilah umat yang berpendirian teguh dalam menangani isu keganasan Israel dan usaha untuk memboikot semua rangkaian perniagaan yang menyokong mereka. Jangan tunjukkan yang kita ini umat yang terlalu rendah martabat dan tiada pendirian. Hanya dengan rasuah makanan, hanya dengan tawaran hadiah di Tesco sahaja kita sanggup bungkus semula tekad perjuangan bertaraf JIHAD FI SABILILLAH ini.
Lebih parah lagi jika semua yang terlibat dengan kerjasama perniagaan dengan Israel, bahkan dengan Amerika sekalipun melakukan pemboikotan secara kekal dengan mengubah perniagaan mereka. Mengapa tidak? Kerana sudah 70 tahun Israel mengganas, menyiksa, memusnah dan membunuh rakyat Palestine. Apa maknanya jika kita hanya boikot mereka sehari atau sebulan?
Sepatutnya Parlimen Malaysia sudah awal-awal melakukan embargo, memboikot Israel dan Amerika sepertimana dilakukan oleh banyak negara lain termasuk yang bukan Islam. Sekalipun jika pelaburan syarikat Amerika dan Israel dikatakan memakmurkan ekonomi kita, namun jika hasilnya digunakan untuk menjahanamkan negara dan nyawa saudara kita di sana, kami yakin ramai dari kita sanggup kurangkan kemewahan ini demi menunjukkan semangat persaudaraan kita.
Penentangan terhadap Israel sudah menjadi agenda dunia, bukan terbatas kepada masyarakat Islam sahaja. Oleh itu hati-hati dalam melontar tohmahan serta melabel Zionis dan Yahudi. Jangan sampai kita ditertawakan dan dilihat sebagai masyarakat yang jahil. Kita harus membantah dengan ilmu. Yang jelas jahat ialah Zionis. Bukan semestinya Yahudi itu Zionis kerana ramai sekali Yahudi yang menentang Zionis Israel dan menyokong perjuangan rakyat Palestine.
Akhirnya harus hati-hati juga dalam menzahirkan kebencian terhadap Israel dan usaha pemboikotan ini. Janganlah mengulangi lontaran yang berbentuk keganasan terhadap premis perniagaan atau pekerja yang terlibat. Ini kerana ada di kalangan kita yang melakukan sesuatu membabi buta tanpa timbang tara, premis dirosak, pekerja diludah dan sebagainya. Yang mahu kita boikot ialah perniagaannya bukan premis atau pekerjanya.
Antara contoh yang baik ialah apa yang dilakukan oleh Menteri Pertanian dan asas tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggunting kad kredit HSBC beliau secara terbuka. Selaku menteri, apa yang beliau lakukan pastinya mampu memberi kesan signifikan secara moral kepada bank itu. Demikian juga usaha beberapa pihak seperti mengecat logo dan bendera Gaza di keretapi, bangunan dan kenderaan. Kesannya amat menebal.
Semuga usaha kita berjaya memberikan tekanan jangka panjang buat menghentikan kekejaman Zionis Israel.

Comments

Popular posts from this blog

Plan Maxis Free Basic Internet

Maxis Free Basic Internet V2

Hilangkan Bau Cili Giling / Cili Boh