Edisi Terbaek Punye!!! Bina Hotel 6 Hari
Assalamualaikum
BANGUNAN Hotel Ark sebelum dan selepas berjaya disiapkan tahun lepas dalam tempoh enam hari.
KEPESATAN ekonomi China telah membolehkan negara itu berkembang
sebagai antara negara paling pesat membangun dalam tempoh 20 tahun.
Lebih membanggakan negara itu kini berada di kedudukan kedua sebagai
kuasa ekonomi dunia di belakang Amerika Syarikat (AS).
Kepesatan ekonomi negara itu menyumbang ke arah pembangunan yang
lebih ketara dan kita sendiri melihat hampir kesemua bandar utamanya
sudah dipenuhi bangunan pencakar langit.
Kini negara itu boleh berbangga sebagai sebuah negara pembina
terpantas di dunia apabila berjaya membina bangunan dalam tempoh yang
singkat.
Pada 2010, mereka berjaya membina sebuah hotel setinggi 15 tingkat
di selatan China yang disiapkan hanya dalam tempoh enam hari.
Struktur asas Hotel Ark berjaya disiapkan dalam masa dua hari
manakala dalam tempoh tidak sampai empat hari atau lebih tepat 90 jam
lagi, kerja-kerja luaran seperti dinding tingkap siap dipasang.
Bangunan ini yang terletak di Wilayah Hunan, turut menggunakan
bahan-bahan pembinaan yang enam kali lebih sedikit daripada bangunan
biasa.
Para pekerja membina Hotel Ark yang lengkap dengan struktur kalis
bunyi, insulasi haba dan mampu bertahan jika berlaku gempa bumi
berukuran 9 Skala Richter, dengan menggunakan kaedah pasang siap secara
sepenuhnya.
Menariknya walaupun kerja-kerja pembinaan dijalankan begitu pantas,
tiada seorang pekerja yang cedera dan tidak banyak sisa binaan dibuang.
Terbaru
Pada minggu lepas, sekali lagi negara itu berjaya membuktikan
keunggulan dalam bidang pembinaan apabila berjaya menyiapkan bangunan
baru Hotel Ark.
Hotel setinggi 30 tingkat dan berukuran 183,000 kaki persegi itu berjaya dibina dalam masa 15 hari atau 360 jam.
Bangunan itu sekali lagi berjaya dibina tanpa melibatkan kecederaan
pekerjanya serta mampu menahan gempa bumi sehingga 9 Skala Richter.
Hotel Ark terbaru ini dibina berhampiran Tasik Dongting, juga dalam
wilayah Hunan oleh Broad Group, sebuah syarikat pembinaan Cina yang
pakar dalam seni bina lestari.
Kedua-dua bangunan hotel ini menggunakan teknik bahan-bahan yang
dipasang siap mengikut seksyen di kilang sebelum dicantumkan menjadi
bangunan di tapak pembinaan.
Untuk menyiapkan struktur bangunan utama, ia juga mengambil masa
tidak sampai 46 jam dan tempoh 90 jam lagi digunakan untuk menyiapkan
bahagian luaran. Keseluruhan bangunan siap dalam tempoh 15 hari.
Struktur bangunan itu juga kalis bunyi dan mampu menebat arus udara
panas, selain mempunyai pemantau kualiti udara di setiap bilik hotel.
Satu lagi perkara menarik, kerja-kerja pembinaannya tidaklah
berlanjutan tanpa henti dalam tempoh 15 hari. Malah para pekerja pulang
sebaik sahaja waktu kerja mereka tamat pada pukul 10 malam.
Pencapaian China itu menimbulkan kerunsingan dalam kalangan pakar
ekonomi Amerika Syarikat tentang kemajuan negara itu dari sudut
pembinaan.
Apatah lagi, China kini berbangga sebagai kuasa baru dunia, kuasa
ekonomi serta keupayaan komputer supernya. Sudah pasti keupayaan yang
semakin ketara itu meresahkan Barat yang selama ini dominan dalam semua
bidang.
Sumber: Utusan
Comments