Edisi Terbaek Punye!!! Kanak Kanak Terselamat Dari Diculik
Assalamualaikum
MELAKA — Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun melalui pengalaman
getir apabila kereta yang dinaikinya dilarikan seorang penjenayah,
petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, mangsa, Nor Abdullah Afiq
Abdullah sedang tidur di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Gen-2
milik datuknya, Abu Samah Othman, 62.
Kenderaan itu diparkir di Jalan Melaka Raya 8 di sini apabila datuk
mangsa berhenti di sebuah syarikat insurans, yang terletak kira-kira 20
meter dari situ, untuk menjelaskan bayaran bulanan.
Abu Semah ketika ditemui berkata dia tidak membawa Nor Abdullah Afiq bersama kerana cucunya itu sedang tidur.
"Saya meninggalkannya dalam kereta dengan keadaan enjin dimatikan
tetapi tidak berkunci kerana membuka pendingin hawa dan radio,” katanya.
Bagaimanapun, tidak sampai lima minit berurusan di syarikat itu, dia
terkejut apabila mendapati keretanya tidak ada di tempat yang diparkir.
Abu Semah berkata kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada kerani
wanita di syarikat insurans tersebut yang kemudian membantu membawanya
ke Balai Polis Bandar Hilir untuk membuat laporan.
Ketika dalam perjalanan, mereka terlihat seorang anggota polis
trafik dan memberhentikan kenderaan sebelum memaklumkan kejadian itu
kepadanya.
Abu Semah berkata dia diarah membuat laporan selepas anggota polis
itu mengambil nombor pendaftaran serta jenis kereta miliknya.
"Kira-kira enam minit menunggu di balai polis, saya dimaklumkan
bahawa kereta dan cucu saya berjaya ditemui di Jalan Parameswara, tidak
sampai dua kilometer dari tempat saya parkir,” katanya.
Sementara itu, Nor Abdullah Afiq berkata dia terkejut apabila
kenderaan dinaiki dipandu seorang lelaki tidak dikenali setelah terjaga
daripada tidur selepas bola besbol yang berada di bahagian belakang
kereta terjatuh atas kepalanya.
Katanya, dia hanya mendiamkan diri kerana ketakutan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman ketika
mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga
tempatan berusia 30-an hasil tindakan pantas anggota trafik tersebut
yang melakukan hebahan dan rondaan sehingga berjaya mengesan kenderaan
terbabit.
"Turut ditemui, beg pinggang suspek yang mengandungi beberapa
peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan,” katanya.
Salehhudin berkata siasatan polis turut menahan seorang lagi lelaki
warga tempatan berusia 25 tahun dan seorang perempuan warga Thailand
berusia 20-an di sebuah hotel bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi
kesalahan mencuri kenderaan dan Seksyen 363 kanun sama kerana menculik
Comments