Edisi Subhanallah!! Laut Bergelora Berubah Tenang Apabila Terima Abu Al-Quran
TERTIB...kakitangan
Jabatan Mufti Perak melupuskan abu pembakaran Al-Quran. Gambar kecil,
Pengurus Syarikat Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan menunjukkan bongkah
abu untuk dilupuskan.
LUMUT: Abu pembakaran puluhan ribu naskhah al-Quran seberat satu
setengah tan yang dibuang ke laut berhampiran Pulau Sembilan di sini,
pagi semalam, mempunyai warna kelabu walaupun dibakar yang dianggap
pelik dan jauh berbeza berbanding kertas biasa yang menjadi hitam
apabila dibakar.
Kejadian itu disaksikan lebih 30 ahli rombongan diketuai Mufti Perak,
Tan Sri Harussani Zakaria ketika melakukan proses melupuskan abu
al-Quran di sekitar perairan pulau berkenaan yang pertama kali dilakukan
di kawasan laut dalam.
Abu al-Quran yang dibakar itu dikumpul Syarikat Percetakan Saufi di
Batu 10, Jalan Cheras, Kajang, Selangor, sebelum dihantar ke dermaga
Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada jam 9.30 pagi
semalam menggunakan van milik syarikat berkenaan.
Sebanyak 170 plastik hitam mengandungi abu itu dipindahkan ke kapal
KM Marlin milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum
dibawa ke tengah laut kira-kira 8.2 batu nautika dari pangkalan TLDM.
Proses memindahkan abu al-Quran itu dilakukan dengan tertib apabila
semua plastik seberat lapan kilogram setiap satu itu disusun teratur
dengan bantuan anggota APMM.
Tugas membuang abu
al-Quran itu seolah-olah dipermudahkan apabila laut yang mulanya agak
berombak tiba-tiba menjadi tenang sebaik petugas terdiri dari pegawai
Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri
(KDN) cawangan Perak, Pegawai Pejabat Mufti dan Majlis Agama Islam Perak
memulakan proses membuang abu.
Harusssani yang memberi taklimat ringkas berhubung tugas itu kemudian menjatuhkan bongkah abu berkenaan satu persatu ke laut.
Tugas menjatuhkan bongkah abu Al-Quran itu kemudian dilakukan beramai-ramai dalam masa 10 minit.
Harussani yang juga Pengerusi Lembaga Teks dan Pelesenan al-Quran,
berkata ulama sebelum ini bersependapat membuang abu al-Quran ke dalam
laut adalah kaedah terbaik walaupun cara menanam di dalam tanah juga
dibenarkan.
“Bagaimanapun kaedah menanam abu al-Quran di dalam tanah dibimbangi
boleh tercemar jika ada aktiviti dilakukan di atas tanah berkenaan. Oleh
itu, kaedah membuang abu al-Quran ke laut paling selamat dan akan
diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Syarikat Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan,
yang turut mengikuti proses membuang abu al-Quran itu memberitahu
berkata, proses pembakaran dan mengumpul abu dimulakan sejak tiga bulan
lalu.
Comments