Bagai Puncak Dunia
Assalamualaikum
Keinginan mendaki semakin membuak-buak, apatah lagi saya sudah lama 'gelisah' kerana tidak mendaki gunung sejak tiba di Perth pada September tahun lalu. Di Malaysia, saya kerap mendaki bersama rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama.
Bagi saya, ia satu keinginan yang perlu dilunaskan. Setelah menyampaikan cadangan di laman sosial Facebook GEBA GEKA (Geng Basikal Geng Kayak), sebuah kelab rekreasi pelajar Malaysia di Perth, saya berjaya mengumpul empat individu iaitu Syafiq Afifi, 22, pelajar tahun akhir pengajian Geologi; Faridah Ridzuan, 26, pelajar tahun akhir program ijazah doktor falsafah (PhD) Sains Komputer dan Dr. Anisa Aisya Abu Baker, 33, seorang pakar anesthesia.
Banjaran Stirling atau Koikyennuruff terletak kira-kira 337 kilometer (km), tenggara Perth. Trek perjalanan di banjaran itu merupakan salah satu daripada tarikan utama yang dinamakan 'toptrails of Western Australia'.
Terdapat lebih 10 gunung yang boleh didaki tetapi hanya dua gunung yang ingin ditawan oleh kami pada Januari lalu. Gunung Bluff Knoll (1098 meter) merupakan puncak tertinggi di Barat Daya Australia, manakala Gunung Toolbrunup (1052 meter), kedua tertinggi tetapi dikatakan paling mencabar, namun berbaloi kerana pemandangan dari puncak amat indah.
Kedua-dua pendakian ini dirancang sebagai 'day trip' memandangkan peserta masih baru dalam aktiviti mendaki. Selain itu, ini merupakan kali pertama saya berperanan sebagai perancang dan penganjur. Sebelum ini, saya hanya menjadi peserta dalam ekspedisi mendaki gunung.
Kami menaiki kereta Dr. Anisa untuk menempuh perjalanan kira-kira 400 km dari Perth. Kami menempah kabin Stirling Range Retreat yang merupakan antara penginapan berasaskan ekologi yang mementingkan alam sekitar.
Pendakian ini dilakukan pada musim panas. Mengikut cadangan awal, kami akan mendaki Gunung Bluff Knoll pada waktu petang, tetapi setelah berbincang dengan Renjer Taman Negara Banjaran Stirling, beliau tidak menggalakkannya kerana awan mendung.
Mengikut pengalamannya, kemudaratan boleh timbul sekiranya usaha mendaki diteruskan. Justeru, kami sepakat mengubah jadual pendakian. Setelah meletakkan barang di kabin, kami memandu ke Emu Point, Albany.
Wow...sungguh indah pemandangan laut dari tanjung ini dan kami menghabiskan masa bersantai menyaksikan keindahan matahari terbenam. Kami bersiap sesudah subuh dengan menyediakan sarapan dan nasi lemak untuk bekalan di puncak.
Pendakian Gunung Toolbrunup mengikut rancangan asal. Walaupun jarak pergi dan balik hanya empat kilometer dari tempat letak kereta, namun pendakian sangat curam. Bak kata pendaki, 'mencanak tak ingat'! Saya menjangkakan pendakian akan mengambil masa lebih empat jam kerana pengalaman rakan-rakan pendaki yang tidak setara dengan gred pendakian.
Yang penting adalah keselamatan dan kesihatan peserta. Kecederaan adalah sesuatu yang ingin saya elakkan. Mujur juga saya telah menyarankan peserta untuk melakukan latihan membina stamina di Jacob's Ladder, Perth. Untuk tiba di tempat letak kereta, kami menempuh laluan tidak berturap sejauh empat kilometer. Sebenarnya, kereta Dr. Anisa tidak sesuai dipandu di jalan ini. Justeru, kami berhati-hati memandu selaju maksimum 40-50km/j bagi mengelakkan kerosakan pada keretanya.
Nasib baik cuaca kering kerana musim panas dan bukan musim hujan! Saya berdoa agar tiada apa yang terjadi kerana itulah satu-satunya kenderaan untuk kami pulang nanti. Kami memulakan perjalanan ke puncak pada pukul 8 pagi. Syafiq yang masih muda berjalan di hadapan dan saya di belakang, bertindak sebagai 'sweeper' untuk kumpulan ini.
Seperti yang dijangka, baru beberapa ratus meter perjalanan, kami sudah tercungap-cungap kerana laluan semakin menaik! Kami tiba di satu persimpangan yang menampakkan perbezaan trek yang perlu dihadapi. Dari denai yang berasaskan tanah kepada batuan keras yang pelbagai saiz, tertulis satu tanda iaitu 'Sekiranya anda tidak mempunyai kecergasan, sila patah balik sekarang atau anda menempah bahaya!'
Ha...ha...ha, satu cabaran mental sebenarnya diberikan yang saya kira digunakan untuk menjadi bekalan motivasi hingga ke puncak. Pendakian menjadi sangat curam. Hanya laluan naik dan naik. Prestasi peserta agak perlahan kerana ketidakpastian untuk melangkah di antara batu-batu yang menjadi halangan di sepanjang trek ini.
Tepat pukul 10.50 pagi, kami sampai di puncak. Masing-masing gembira dengan pencapaian ini. Hadiahnya... terasa bagaikan berada di puncak dunia! Pemandangan sekeliling begitu indah. Ternyata nikmat yang diperoleh bertambah tatkala kami menjamu nasi lemak di puncak Toolbrunup ini.
Comments