Raja Perlis Mahu Mahasiswa USM Kuasai Ilmu
Assalamualaikum
PULAU PINANG - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan graduan supaya menguasai ilmu pengetahuan kerana ia penting kepada pembangunan diri, masyarakat dan negara.
Baginda yang juga Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) bertitah, menerusi penguasaan ilmu pengetahuan akan menjadikan seseorang itu lebih baik dan seterusnya menjadikan masyarakat lebih sejahtera.
"Melalui ilmu pengetahuan, kita mampu mencipta sebuah kegemilangan akan tetapi kegagalan menguasai ilmu pengetahuan akan membuatkan sesebuah kegemilangan hancur sekelip mata," titah baginda pada Upacara Konvokesyen ke-45 USM di Dewan Tuanku Syed Putra di sini semalam.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Tuanku Syed Sirajuddin juga mengingatkan graduan supaya menghargai pengorbanan ibu bapa walaupun telah berjaya.
Baginda bertitah, adalah penting untuk setiap orang mengamalkan budaya timur dan nilai kekeluargaan bagi mengelak berlaku perkara negatif.
"Saya percaya inilah asas yang perlu diingat dan dipertahankan agar ilmu pengetahuan yang kita peroleh membawa makna sepanjang hayat.
"Biar siapa pun diri kita, biar di mana pun bumi dipijak, inilah asas yang saya harap sentiasa disimpan buat pedoman," titah baginda.
Comments