Cinta Di Bangku Sekolah
Assalamualaikum
TEPAT pukul 11.50 pagi kelmarin, pasangan Natasha Liana Hudson, 30, dan Mohd. Khalid Mohd. Kamal, 33, selamat diijabkabulkan dengan hanya sekali lafaz.
Berwalikan hakim dan dinikahkan oleh jurunikah Ustaz Shahirman Ahmad di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, Natasha Hudson dan penyanyi kumpulan hip hop Phlowtron dan juga peneraju syarikat penerbitan media Phuture Phlow, Carleed Khaza kini sudah sah bergelar pasangan suami isteri.
"Terkejut sebenarnya tapi dalam masa yang sama saya sangat gembira dan terharu, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," ucap Natasha yang ditemui usai majlis akad nikah dan resepsi baru-baru ini.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak pengantin memutuskan untuk tidak menyediakan wang hantaran.
Pihak Carleed menyediakan lima dulang hantaran yang antaranya berupa tepak sirih, senaskhah al-Quran, sepersalinan baju, wangian dan sebentuk cincin.
Pihak pengantin perempuan pula membalas dengan tujuh dulang hantaran iaitu tepak sirih, sepersalinan baju, sejadah, kek, wangian, al-Quran digital dan sebentuk cincin.
Kunci kisah peribadi
Berkenalan sejak dari bangku sekolah menengah, bagaimanapun ikatan dua jiwa itu putus di tengah jalan dan masing-masing membawa hala tuju kehidupan dan kerjaya sendiri.
Namun, andai takdir sudah tertulis mereka dipertemukan kembali beberapa tahun terkebelakang dan mulai serius meneropong perspektif kehidupan mereka dengan lebih profesional.
Pendek kata, pengalaman mematangkan dua jiwa itu dan kini Natasha dan Carleed sudah bersedia menggalas beban sebagai pasangan suami isteri.
Ujar Carleed: "Ini sudah ketentuan Allah, saya pada mulanya tidak terfikir akan bersama dengan Tasha (Natasha) namun dia ada ciri-ciri yang membuka pintu hati saya."
Sebelum ini Natasha dan Carleed lebih gemar mengunci mulut untuk membuka kisah peribadi mereka apabila kerap kali berdepan dengan media.
"Saya tidak suka bercerita mengenai kisah peribadi kepada orang ramai, biarlah hal itu saya sendiri yang simpan," simpul Natasha.
Tambahnya, kisah hubungannya bersama Carleed sebelum ini disifatkan profesional dan atas dasar kerja memandangkan kedua-duanya banyak terlibat dalam projek untuk kelahiran album sulung Natasha.
Menebak Carleed dengan persoalan kejujuran hati Natasha sebagai insan yang telah membuka pintu hatinya, kata komposer itu, Natasha memiliki ciri-ciri wanita yang diidamkan.
"Dia menghormati orang tua dan saya dapat lihat dia seorang ibu yang sangat penyayang. Pernah ketika saya berada di luar negara kerana ada tugasan, Tasha selalu datang melawat nenek saya yang sudah uzur," ceritanya yang mengharapkan berkat doa orang ramai dan peminat untuk kebahagiaan mereka berdua.
Bagi Natasha pula, dia melihat Carleed sebagai seorang calon yang paling tepat untuk membimbingnya selaku khalifah Allah di muka bumi.
"Dia sangat baik, ringkas dan menghormati orang tua. Lagipun dia sangat rapat dengan anak saya, seorang penasihat yang baik dan kami boleh bekerjasama serta memiliki banyak persamaan. Saya yakin dia boleh jadi seorang ketua keluarga yang baik," ungkap ibu kepada Neesa Helena, empat tahun.
Kata hati
Keputusan yang dibuat menerusi pertimbangan dalam tempoh masa yang agak panjang, ujar pasangan itu akhirnya kata putus untuk melangsungkan pernikahan tercetus dua hari sebelum kepulangan Natasha ke tanah air ketika sedang menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada 4 April lalu.
"Sebenarnya kami sudah lama putuskan hal ini. Sewaktu kami di Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah pun kami masih berbincang dan berdoa mohon diberikan petunjuk. Alhamdulillah, doa kami dimakbulkan," kata pelakon filem Chermin itu.
Maklum Natasha, tarikh awal untuk mengadakan majlis itu diputuskan pada 22 April namun terpaksa diawalkan ke 15 April kerana tempoh itu dirasakan paling ideal untuk mengumpulkan semua ahli keluarga termasuk kekosongan tempat untuk upacara akad nikah.
Sebelum ini, Natasha dan Carleed pernah menghadiri kursus perkahwinan sebagai persediaan diri sendiri. Namun mereka pergi secara berasingan.
Bukan kerana kejar umur, jelas Natasha, pilihan untuk dia menoktahkan gelaran janda itu relevan memandangkan dia sudah lama bersendirian dan ikatan yang terjalin memberikannya bimbingan dan panduan yang cukup mengenai kehidupan dan agama.
"Saya percayakan apa kata hati saya dan sejujurnya saya katakan saya seorang wanita yang mengutamakan keluarga, karier adalah kedua bagi saya," jelas Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke-20 itu.
Bulan madu
Mengusik pasangan itu dengan soalan berbulan madu dan perancangan keluarga selepas berkahwin, kata mereka rezeki itu terserah pada yang Maha Kuasa.
"Kalau bulan madu pula saya teringin untuk ke Istanbul, Turki yang pernah sekali saya kunjungi ketika mengerjakan umrah dua bulan lalu.
"Tapi memandangkan hari Selasa ini pun kami sudah mula bekerja, mungkin perancangan itu akan difikirkan kemudian," kata Carleed.
"Setiap orang ada perjalanan hidup masing-masing, jadi tiada halangan untuk saya menerima Natasha dan anaknya. Saya gembira doa kami dimakbulkan.Tambahnya, dia menerima Natasha dengan hati yang terbuka dan baginya kehidupan silam Natasha adalah prioriti dan hak peribadinya untuk tidak diusik.
"Saya tidak akan menghalang pembabitan Natasha dalam bidang seni malah saya melihat dia seorang yang sangat berbakat besar," ujarnya.
Comments