Jum Holiday Di Tanjung Malai

Assalamualaikum

SALAH satu perkara yang membuatkan agenda percutian terasa berbaloi adalah apabila disambut dengan kecemerlangan hospitaliti. Apresiasi tetamu oleh pihak hotel atau resort berupaya mencetus perasaan senang lantaran terasa seperti disambut keluarga sendiri.

Bermula daripada konsep layanan tersebut, sebarang tawaran aktiviti bernilai tambah tentunya menjadi lebih mengujakan. Perasaan seronok seperti itu ternyata dapat dirasai di Awana Porto Malai Langkawi (APML), Pulau Langkawi, Kedah kerana sambutan mesra tersebut dipraktikkan penuh gaya oleh para petugas barisan hadapannya.
Di sebalik keunikan seni bina inspirasi Mediterranean di unjuran Tanjung Malai itu, ada faktor manusia yang menggamit perhatian tetamu.
Senyuman, bimbingan dan tunjuk arah yang diberikan para petugas hotel sejak dari laluan masuk ke kaunter daftar hinggalah ke bilik penginapan membuatkan seseorang tidak sabar untuk meninjau kemudahan lain dalam perimeternya.
Penginapan
Sebanyak 209 unit bilik berlainan kategori disediakan untuk tujuan penginapan. Pengunjung boleh memilih sama ada mahu bermalam di unit Deluxe (Garden View dan Sea View), Superior, Premier, Premier Suite mahupun Presidential Suite.
Sementara Unit Deluxe menawarkan ruang pandang yang menghadap taman hijau atau panorama kebiruan Selat Melaka, unit-unit Superior dan Premier pula hanya menawarkan pemandangan indah zon marina dan laut.
Bercakap tentang bilik yang menghadap samudera itu, Pengurus Besar APML, Simon Lee Fook Seong mempunyai pendapat tersendiri.
“Bilik-bilik Sea View mempunyai pemandangan menghadap laut yang sangat indah dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” ujarnya yang mengalu-alukan para tetamunya.
Berdasarkan pemerhatian kru Kosmo!, ada ciri menarik yang menanti di dalam setiap bilik di APML ini.
Kedudukan siling yang tinggi di bilik penginapan dilihat berjaya mengoptimumkan kesan aliran udara. Aspek tersebut juga membolehkan konsep pencahayaan semula jadi dapat dicapai memandangkan pintu gelangsar dan jendela kaca dibina mengikut ketinggian tersebut.
Mengikut jenis bilik tertentu, penginap turut dihadiahkan dengan ruang balkoni lebar dan juga panorama alam yang mententeramkan jiwa.
Setiap bilik dilengkapi perkakasan membuat minuman, kelengkapan penjagaan diri, bilik air luas dan pendingin hawa. Maka, tidak hairanlah jika sesetengah penginap banyak menghabiskan waktu di dalam kawasan hotel tanpa keluar ke mana-mana.
Berbaring di atas katilnya yang bertilam empuk dan beralas cadar kapas lembut seumpama meraikan detik-detik berharga. Keselesaan itu laksana terapi yang mampu memisahkan diri daripada memikirkan tentang beban dunia kerja.
Bergantung pada corak musim kedatangan pelancong, harga penginapan juga berlaku keanjalan kadar.
“Ramai tetamu yang menginap ketika bukan musim puncak berpuas hati kerana membayar harga yang rendah daripada biasa,” ujar Penolong Pengurus Jualan APML, Azizah Aziz.
Menjamu selera
Meskipun nyaman bermalas-malasan di dalam bilik, apabila sampai waktunya, pasti selera makan mula mencuit minda. Untuk melunaskan tuntutan gastronomi itu, seleksi hidangan yang menyelerakan sedia dinikmati hanya beberapa langkah dari ruang lobi.
Seagull Coffee House, misalnya, dibarisi tenaga chef berpengalaman yang menghidangkan pelbagai menu istimewa gabungan cita rasa Asia dan antarabangsa.
Selain itu, pilihan hidangan sizzling di Zest mengambil ruang di pelantar menghadap marina. Di situ juga, pengunjung boleh mencuba sajian stimbot istimewa yang kini menjadi promosi signatur makan malamnya. Di atas pelantar kayu itu, aura romantis dapat dihidupkan sambil bertemankan kerdipan lilin.
“Selain itu, kami memiliki sebuah restoran gaya fine-dining yang menghidangkan kuisin Itali dan Continental iaitu Villa Rossi. Jika mahu menghirup minuman segar sambil berhibur dengan persembahan live, Lobby Lounge boleh dikunjungi,” ujar Azizah.

Bagi penganjuran acara persidangan atau majlis keramaian, hotel ini menawarkan antara ruang dewan yang terbesar di Langkawi. Selain terdapat ruang dewan pelbagai guna seluas 836 meter persegi, Awana Grand Ballroom yang seluas 740 meter persegi juga sedia dimanfaatkan.
Lebih istimewa, dewan-dewan utama itu tidak dihalangi tiang besar yang boleh membataskan pandangan langsung ke pentas utama. Beberapa buah bilik seminar lain juga disediakan khusus untuk acara berskala kecil.
Riadah dan rekreasi
Kesunyian APML daripada hiruk-pikuk kawasan sibuk tumpuan pelancong bukan bermakna ia hanya sesuai buat golongan yang mahu berbulan madu.
Di sebalik suasana tenang itu, ia sebenarnya ideal buat kunjungan seisi keluarga berikutan terdapat pelbagai aktiviti ditawarkan dalam pakej-pakej khusus. Semuanya menjanjikan keriangan yang melibatkan matahari, laut, pasir pantai dan hutan tropika.
Jika tidak membasahkan diri di kolam renang yang dilengkapi kemudahan seperti taman tema air, pengunjung boleh bermain jet ski dan berkayak. Jika belum bersedia untuk membasahkan diri, mungkin boleh memulakan dahulu pilihan aktiviti di darat seperti berbasikal, memanah dan juga permainan papan.
“Melalui syarikat pengendali yang bekerjasama dengan pihak hotel, pengunjung juga boleh menyertai aktiviti memancing dengan bot atau menikmati pelayaran eksklusif waktu matahari terbenam dengan bot layar atau katamaran,” terang Azizah yang menekankan betapa Awana Porto Malai Langkawi amat sesuai bagi menjalankan aktiviti kem bina diri dengan kelebihan elemen rekreasi akuatik.
Pihak hotel juga mengajak pengunjungnya menyertai aktiviti sukaneka, permainan mencari harta karun, treking hutan dan melawat kawasan paya bakau, geopark dan gua dengan menaiki bot.
Simon menjelaskan, dari aspek penyediaan riadah dan rekreasi luar, aktiviti jelajah pulau adalah pilihan terbaik untuk disertai di Langkawi.
“Di APML, kami membawakan kepada tetamu kami pesona Pulau Beras Basah, Tasik Dayang Bunting dan juga keunikan kawasan santuari helang termasuk aktiviti memberi makan burung tersebut. Semua tarikan itu tiada tandingannya di rantau sebelah sini,” kata Simon.
Teroka sendiri
Biarpun ada pelbagai aktiviti menarik yang berpusat di hotel, tentunya peluang untuk mencuba keseronokan lain tidak wajar dilepaskan begitu sahaja. Mujur lokasi hotel ini berdekatan dengan kawasan yang paling meriah di Langkawi khususnya pada waktu petang dan malam iaitu di Pantai Cenang serta Pantai Tengah.
Sama ada menaiki kenderaan ataupun dengan kaedah lebih aktif iaitu mengayuh basikal, keselesaan di kamar hotel boleh ditinggalkan seketika untuk merasai suasana hiper di sepanjang rentangan jalan pantai tersebut.
Godaan deretan restoran berkonsep, butik pakaian, spa, kedai serbaneka, kafe berinternet, galeri seni dan kraf serta kedai barangan bebas cukai memang disinggah. Tarikan ikonik Langkawi seperti Underwater World dan Laman Padi cuma berjarak kira-kira satu kilometer dari APML.
Bagi yang inginkan rentak adventure, sewa saja motosikal pada kadar harian yang murah. Tampil praktikal, tunggangan itu membolehkan seseorang meneroka lebih banyak lokasi legenda, kompleks pelancongan kontemporari dan destinasi alam semula jadi di seluruh pulau.
Jelas sekali, dengan menginap di APML, kehidupan gaya pulau yang meriah menanti di setiap sudut dan waktu. Tanpa perlu tergesa-gesa, pilihan tersebut terletak sepenuhnya pada keinginan pengunjung.
Begitupun, pengalaman terbaik pastinya dapat dinikmati bagi mereka yang bijak mengimbangi momen istirehat santai dan aktiviti yang melonjakkan paras adrenalin! - KOSMO

Comments

Popular posts from this blog

Plan Maxis Free Basic Internet

Maxis Free Basic Internet V2

Hilangkan Bau Cili Giling / Cili Boh