Nelydia Pengsan Dalam Kubur

Assalamualaikum

PERNAH tidak sedarkan diri selama beberapa jam, diusung keluar dari kubur oleh 10 hingga 12 orang kru pada pukul 12 tengah malam bagai satu igauan buat Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen. Ketika kejadian itu berlaku, dia berada di sebuah kawasan perkuburan Islam di Melaka kerana terbabit dalam penggambaran drama seram, Puaka Tanjung Bunga.
“Kawan-kawan beritahu, saya tidak sedarkan diri dan berkelakuan pelik sebaik dimasukkan dalam kubur. Kepala saya dikatakan berpusing ke belakang dan saya sendiri menghentak-hentakkan kepala ke tanah.
“Kru yang angkat saya mengakui, tubuh saya sangat berat sampai kena usung oleh 10 hingga 12 orang. Saya sendiri tak sedar apa-apa tetapi setelah diubati seorang pakar, keesokan harinya, saya boleh berlakon macam biasa. Mungkin saya jenis lemah semangat lagipun ketika itu saya didatangi haid,” ceritanya yang lebih mesra dibahasakan Nely tentang pengalaman menyelesaikan drama seram yang mula disiarkan di TV9, pada Rabu lalu.
Menerusi drama Fairuz Loy itu, Nelydia diberi peranan memegang dua watak sekali gus iaitu sebagai watak gadis moden dan purba.
“Saya bawa watak Mayang dan Sanur. Mayang seorang wanita kampung berusia 30-an sementara Sanur pula wanita zaman silam yang bertukar menjadi puntianak. Membawa dua watak dalam satu drama nyata mencabar diri saya dan saya berazam memberikan yang terbaik kepada penonton,” katanya yang menimba banyak ilmu daripada Faizal Hussein yang melakonkan watak kekasihnya manakala Namron pula sebagai bapa dalam drama berkenaan.
Belum meletakkan hala tuju dalam karier yang diceburi sejak berusia 13 tahun, Nelydia, 18, kini tidak berhenti menerima tawaran lakonan. Biarpun begitu, bintang drama Friday I’m in Love di TV9 itu sebenarnya tidak meletakkan bergunung harapan dalam bidang seni kerana percaya perjalanannya masih terlalu jauh.
“Walaupun orang selalu tak percaya yang saya baru berusia 18 tahun, mungkin sebab penampilan dan pergaulan saya.
“Saya meminati psikologi dan jika rancangan saya mahu sambung belajar di universiti tercapai, saya akan ambil bidang psikologi. Saya minat untuk kenal lebih dalam tentang perasaan orang lain.
“Dalam soal lakonan, saya tidak tahu sampai bila saya terus berlakon, saya cuma mahu ikut rentak karier ini,” katanya yang kini sibuk di lokasi drama Chef Cinta, sebuah siri untuk RTM. - kosmo

Comments

Popular posts from this blog

Plan Maxis Free Basic Internet

Maxis Free Basic Internet V2

Hilangkan Bau Cili Giling / Cili Boh